Ada dua kegembiraan untuk
orang berpuasa
KEISTIMEWAAN ibadat puasa Ramadan tidak terhitung
banyaknya sama ada yang lahir atau dapat dikaji manusia,
lebih-lebih lagi yang tersembunyi yang hanya dapat dilihat
dan dinikmati di akhirat nanti.
Rasulullah bersabda bermaksud: "Sudah datang bulan
Ramadan, penghulu segala bulan, maka hendaklah kita
mengucapkan selamat datang kepadanya. Sudah datang
bulan puasa yang membawa segala keberkatan. Maka,
hendaklah memuliakan tetamu yang datang itu." - (Riwayat
At-Tabrani).
Rasulullah bersabda lagi bermaksud: "Sekiranya manusia
mengetahui kebajikan yang terkandung pada bulan
Ramadan, nescaya mereka mengharapkan Ramadan
berlaku sepanjang tahun." - (Riwayat Ibn Abi Dunya).
Ramadan juga adalah bulan terpilih kerana pada bulan
inilah Allah jadikan satu malam yang sangat tinggi nilainya
disebut 'Lailatul Qadar' (malam kemuliaan).
Allah berfirman bermaksud: "Sesungguhnya Kami sudah
turunkan (al-Quran) pada malam Lailatul Qadar. Dan
tahukah kamu apakah malam Lailatul Qadar itu. Malam
Lailatul Qadar itu lebih baik daripada 1,000 bulan." - (Al
Qadar: 1-3).
Di sebalik kewajipan berpuasa Ramadan, keistimewaan
ibadat ini tidak boleh diragui lagi. Jika semua amalan ibadat
anak Adam ini adalah untuk dirinya sendiri, tetapi ibadat
puasa Ramadan adalah untuk Allah. Ia berbeza dengan
ibadat lain kerana mereka yang taat dan ikhlas
mengerjakannya, maka Allah sendiri yang membalasnya.
Kelebihan dan keistimewaan puasa Ramadan ini dapat kita
fahami daripada sabda Rasulullah bermaksud: "Sesiapa
berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharapkan pahala
Allah, nescaya Allah mengampuni dosa-dosanya yang
lalu." - (Riwayat Abu Hurairah).
Sesiapa yang berpuasa dengan taat dan penuh ikhlas, akan
dimasukkan ke syurga melalui pintu khas. Ini dapat
digambarkan melalui hadis Rasulullah bermaksud:
"Sesungguhnya dalam syurga itu ada sebuah pintu yang
bernama Royyan. Pada hari kiamat diserukan dari pintu
itu. Di mana orang yang berpuasa. Apabila mereka semua
masuk, pintu itu pun ditutup kembali." - (Riwayat Bukhari
dan Muslim).
Selain itu, mereka yang ikhlas berpuasa juga dijamin oleh
Allah bahawa akan dijauhkan daripada azab seksa api
neraka. Rasulullah sendiri memberi jaminan sebagai mana
sebuah hadis bermaksud: "Tiadalah berpuasa seseorang
hamba pada satu hari kerana Allah, melainkan Allah
menjauhkan neraka daripada mukanya selama 70 tahun
dengan kerana puasa hari itu." -(Riwayat al-Jamaah
daripada Abu Said).
Kita juga digalak bersedekah atau banyak melakukan
amalan sunat selain yang wajib. Ini kerana Allah
melipatgandakan pahala kepada mereka yang beramal.
Nilai pahala ibadat sunat pada bulan ini sama dengan nilai
pahala ibadat wajib pada bulan lain.
Manakala nilai pahala ibadat wajib bulan ini, sama dengan
nilai 70 kali mengerjakan ibadat wajib bulan lain. Sabda
Rasulullah bermaksud: "Sesiapa yang bertatawuk
(mengerjakan sunat) dalam bulan Ramadan dengan
sesuatu perkara kebajikan, adalah seperti orang yang
menunaikan sesuatu fardu (amalan wajib) pada bulan lain.
Dan sesiapa yang menunaikan sesuatu fardu adalah seperti
orang yang menunaikan 70 fardu pada bulan lain." -
(Riwayat Ibn Khuzaimah daripada Salman al-Farii).
Amalan sunat yang rutin dilakukan sebaik tiba Ramadan
ialah solat Tarawih. Setiap malam diberi ganjaran pahala
yang berbeza kepada sesiapa yang melakukan solat itu
dengan ikhlas. Mereka yang berpuasa pada siang hari dan
bersolat Tarawih pada malamnya, dosanya terhapus
seperti dia baru dilahirkan.
Rasulullah bersabda bermaksud: "Bahawasanya Allah
mewajibkan berpuasa Ramadan dan aku sudah memberi
sunat pada malamnya (solat Tarawih). Sesiapa yang
mengharapkan balasan Allah dengan kedua amalan itu,
nescaya keluarlah (selamatlah) dia daripada dosa seperti
dia dilahirkan oleh ibunya." - (Riwayat Imam Ahmad).
Umat Muhammad juga beruntung kerana ada lima
keistimewaan khas dianugerahkan Allah yang tidak diberi
kepada umat nabi lain yang berpuasa. Ini berdasarkan
sebuah hadis yang bermaksud: "Sudah diberikan kepada
umatku bulan Ramadan lima perkara, yang belum pernah
diberi kepada nabi sebelumku. Perkara itu ialah:
Pada awal Ramadan, Allah memperhatikan umatku.
Sesiapa yang diperhatikan-Nya, dia tidak diazab lagi
untuk selama-lamanya. l Bau mulut mereka (yang
berpuasa) pada petang hari lebih wangi daripada
bau kasturi di sisi Allah.
l Malaikat memohon ampun kepada Allah untuk
mereka setiap hari dan malam. l Allah
memerintahkan syurga-Nya dan berkata kepadanya:
"Bersiaplah kamu dan berhiaslah untuk
hamba-hamba-Ku. Mereka akan beristirahat
daripada kepayahan dunia menuju negeri-Ku dan
kemuliaan-Ku."
l Pada akhir malam Ramadan, Allah mengampuni
semua dosa mereka. Seorang sahabat lalu bertanya:
"Apakah itu malam Qadar." Baginda menjawab:
"Tidakkah engkau melihat pekerja yang sedang
bekerja. Apabila mereka selesai daripada pekerjaan,
nescaya dibayar upah kepada mereka dengan
sempurna." - (Riwayat Imam Ahmad dan Baihaqi).
Sementara itu, semua amalan baik sama ada fardu atau
sunat yang dikerjakan akan mendapat ganjaran yang
sangat besar. Rasulullah bersabda bermaksud: "Sesiapa
menghadiri majlis ilmu agama pada bulan Ramadan, maka
Allah mencatatkan setiap langkahnya sebagai ibadat satu
tahun dan dia akan bersama-Ku di bawah panji-panji
Arasy. Dan sesiapa yang bersolat jemaah pada bulan
Ramadan, maka setiap rakaat akan diberi satu bandar yang
penuh dengan nikmat Allah. Dan sesiapa yang berbuat
baik kepada orang tuanya (ibu bapa) mereka memperoleh
perhatian Allah dengan kasih sayang, sedang aku
menjaminnya di dalam syurga. Dan seseorang perempuan
yang mencari keredaan suaminya, maka baginya balasan
pahala sebagai mana pahala Siti Maryam dan Siti Aisyah.
Dan sesiapa yang menolong keperluan saudara Muslimin,
maka Allah akan menolong 1,000 keperluan pada hari
kiamat." - (Riwayat Anas Malik).
Rasulullah bersabda lagi bermaksud: "Sesiapa memberi
terang dengan lampu di masjid dalam bulan Ramadan,
maka baginya cahaya dalam kuburnya dan dicatat
untuknya pahala orang yang bersolat di dalam masjid itu.
Manakala malaikat bersama memohon tambahkan
kebaikan untuknya, bahkan malaikat pembawa Arasy pun
memohon keampunan untuknya selama mana lampu itu
ada di dalam masjid." - (Riwayat Abu Hurairah).
Keletihan dan kepayahan yang dirasai seharian berpuasa
sehingga sebulan Ramadan dengan ikhlas kerana Allah,
akan berakhir dengan dua kegembiraan, iaitu semasa di
dunia dan di akhirat nanti.
Rasulullah bersabda bermaksud: "Bagi orang yang
berpuasa ada dua kegembiraan. Pertama, ketika dia
berbuka dan kedua, dapat bertemu Allah di akhirat nanti." -
(Riwayat At-Tirmizi).
Keistimewaan yang banyak itu patutlah kita rebut dengan
memanfaatkan setiap detik dalam bulan Ramadan
al-mubarak ini. Orang yang meningkatkan amal ibadatnya
dengan ikhlas, pasti dapat merasai nikmat itu sejak di dunia
lagi.