Tawaf mesti dilakukan sendiri



RUKUN umrah yang kelima ialah tertib. Ia bermaksud sesuatu yang dahulu mestilah dikerjakan terlebih dahulu. Misalnya, niat hendaklah didahulukan daripada tawaf manakala tawaf pula dilakukan dengan sempurna sebelum saie. Jika tidak, umrah tidak sah dan masih dalam ihram.

Selain itu, semua rukun yang disebutkan itu tidak boleh diwakilkan kepada orang lain, sebaliknya mesti dilakukan sendiri jemaah berkenaan walaupun dengan cara diusung atau disorong dengan pertolongan orang atau dengan mengupah orang membawanya kerana keuzuran atau sebab yang tidak dapat dielakkan hingga menyebabkan dia tidak mampu berjalan untuk menyelesaikan kerja-kerja umrah itu.

Bagi yang tawaf dengan usungan, mereka hendaklah patuh kepada syarat-syarat tawaf yang akan diterangkan nanti.

Daripada pengalaman, di sinilah kerap terjadi kesilapan yang dilakukan jemaah yang uzur kerana mereka kurang mengambil perhatian terhadap perkara berkaitan rukun umrah manakala tukang usung pula sering membawa jemaah dengan mengikut mazhab lain daripada Syafie.

Perkara-perkara seumpama ini perlu diberi perhatian dan diambil berat oleh setiap jemaah agar semua rukun umrah yang dilaksanakan dapat dilaksanakan dengan memuaskan hati dan sempurna. V
Selepas memahami rukun umrah, diperjelaskan pula perkara yang ada hubungan dengan wajib umrah.

Ibadat umrah tidak akan sempurna jika tidak dilengkapkan dengan perkara wajib. Sekiranya tertinggal yang wajib atau dilakukan dengan tidak mengikut syaratnya, maka jemaah berkenaan dikenakan dam dan umrahnya sah.

Bagi menjelaskan lagi perkara ini, diperturunkan perkara yang berkaitan dengan wajib umrah, iaitu:

Berniat ihram di miqat. Dalam hubungan ini, miqat itu bermakna sempadan tempat dan masa. V V Miqat makani bermaksud sempadan tempat untuk berniat.

Seseorang yang hendak menunaikan haji atau umrah mestilah mengetahui miqat makani atau sempadan tempat dia hendak berniat ihram. Miqat haji dan umrah adalah seperti berikut:

Qarnul Manzil: Jika datang dari arah Timur, termasuk Asia Tenggara, khususnya Malaysia terus ke Makkah, maka miqatnya ialah kira-kira satu jam sebelum pesawat mendarat di Jeddah.

Al-Juhfah: Bagi mereka yang datang dari negara barat seperti Eropah, maka miqat mereka ialah di Al-Juhfah, iaitu 40 minit sebelum pesawat mendarat di Jeddah.

Bir Ali: Jika jemaah melawat ke Madinah dahulu, maka miqat mereka ialah di Bir Ali. Inilah juga miqat Rasulullah ketika menunaikan haji, iaitu kira-kira 10 kilometer dari Madinah ke Makkah.

Yalamlam: Bagi mereka yang datang dari arah selatan seperti Afrika, Yaman dan Somalia, maka miqat mereka ialah di Yalamlam, iaitu 100 kilometer ke selatan Jeddah atau kira-kira 40 minit sebelum pesawat mendarat.

Zat Irqin: Mereka yang datang dari negara Iran atau Iraq maka miqatnya ialah di Zat Irqin, kira-kira 40 minit sebelum pesawat mendarat di Jeddah.

Tanah Halal: Bagi mereka yang hendak melakukan umrah dan tinggal atau sudah bermukim di Makkah, maka miqat mereka ialah di Tanah Halal yang lazimnya dilakukan oleh Rasulullah ialah di Jaranah, 20 kilometer dari Makkah atau Tanim, tujuh kilometer dari Masjidil Haram atau Hudaibiah (Sumeisyi), kira-kira enam kilometer jalan dari Jeddah ke Makkah.

Miqat haji: Bagi mereka yang hendak menunaikan haji dan sudah bermukim di Makkah (lazimnya jemaah haji tamatuk), maka miqatnya di Tanah Haram sebelum berangkat ke Arafah.

Miqat zamani (masa) umrah: Miqat zamani bagi umrah ialah sepanjang masa selama mana dia tidak berniat haji. Ini bererti boleh dibuat pada bila-bila masa sahaja.