Suara bimbang Haji Man Janggut


ALKISAHNYA, teman tertarik dengan laporan bahawa dunia akan menghadapi kekurangan makanan disebabkan pertambahan penduduk melebihi tujuh bilion, manakala tanah pertanian semakin berkurangan kerana pembangunan? Ada juga laporan yang sebut bekalan beras di Asia akan berkurangan dalam tempoh 20 tahun akan datang. Thailand, Burma dan Vietnam adalah pengeluar beras tetapi apabila permintaan dalam negara itu sendiri bertambah, eksportnya tentulah terjejas.

Bagi teman, soal kekurangan makanan lebih meruncing daripada krisis kejatuhan nilai mata wang dan ekonomi sekarang. Masalah kekurangan makanan, kelaparan dan kebuluran tentulah lebih parah dan mempunyai kesan lebih teruk. Kegawatan ekonomi sekarang masih memperlihatkan kesabaran rakyat. Tetapi bayangkan kalau rakyat kekurangan makanan, kelaparan atau kebuluran. Manusia boleh hilang pertimbangan!

Untuk itu, teman percaya ada baiknya setiap rakyat menanam tekad untuk berfikir bagi memastikan bekalan makanan cukup mulai sekarang. Kementerian Pertanian menetapkan kadar keluaran makanan domestik sebanyak 65 peratus. Ini boleh ditokok menjadi 100 peratus. Maksudnya kita tidak perlu import makanan.

Ada ramai pembaca yang tulis mengenai kebimbangan mereka mengenai kemungkinan berlaku kekurangan makanan di negara ini. Salah seorang yang memberikan pandangan panjang lebarnya ialah Haji Man Janggut dari Kuala Ketil. Menurutnya, beliau seorang guru dan petani separuh masa. Oleh kerana tulisan dan saranannya menarik, teman perturunkan pandangan dan tegurannya itu.

"Kita ada tanah yang luas dan subur. Cuma masalahnya ialah absentee landlordism. Maksudnya banyak tanah terbiar. Ikut kata Timbalan Menteri Pertanian, Datuk Tengku Mahmud Tengku Mansor, ada 240,000 hektar tanah sawah terbiar.

Bukankah itu membazir? Jadi jika kita mahu bekalan makanan di negara ini mencukupi, kita harus mengusahakan setiap inci tanah. Untuk berjaya mengerjakan setiap inci tanah, setiap rakyat harus menjadi 'petani', tidak kiralah kalau hanya menanam sepokok bayam sekalipun.

Langkah ini boleh mengikis sikap malas rakyat, khususnya orang Melayu untuk bercucuk tanam. Pergilah ke mana-mana pasar tani atau pasar biasa. Amat mudah kita lihat sikap malas orang Melayu. Apa tidak malasnya kalau pucuk paku, pucuk ubi pun dibeli. Apa salahnya tanam pucuk paku atau pokok ubi di belakang rumah?

Memang sikap kita selagi boleh beli, kita beli. Memang sikap kita untuk memilih jalan senang. Maklumlah zaman mewah, senang dan serba ada.

Kita ada ramai jutawan. Namun, tidak ramai yang dikaitkan dengan kangkung, sawi, bayam, jagung, ayam atau lembu. Nampaknya bidang pertanian tak begitu diminati oleh mereka yang ingin jadi jutawan. Atau adakah tidak ada sistem yang mantap untuk menjadikan mereka jutawan. Apakah tidak mungkin tanah sawah dimajukan ala korporat seperti di Barat?

Media massa juga perlu bekerjasama menyebarkan kegiatan pertanian. Adalah kurang berfaedah memberi publisiti yang tidak bersempadan kepada artis sehingga berita percintaan artis disiarkan ceritanya sehingga tiga tahun. Muak orang membacanya. Lagi pula kalau rakyat lapar, ia bukan boleh kenyang dengan mendengar lagu nyanyian mereka.

Dalam hiburan bukan ada karbohidrat seperti dalam beras atau jagung. Apa yang perlu dilakukan oleh media massa ialah beri sanjungan kepada belia atau petani.

Kita juga berbangga sebab ada 600,000 ahli PPK di seluruh negara. Tapi andaian Tengku Mahmud bahawa kita ada kekuatan untuk hasilkan bahan makanan RM10.2 bilion setahun meleset sikit. Saya berani kata begitu sebab kebanyakan ahli PPK bukannya produktif secara total mengerjakan pertanian. Majoriti mereka sekadar daftar diri jadi ahli dengan harapan dapat habuan subsidi. Ini realiti.

Oleh itu, 600,000 ahli PPK itu perlu bergiat cergas. Kita tidak boleh terlalu malas hingga hendak tanam sebatang serai pun jadi sukar. Makmurkan negara dengan bahan makanan. Jangan jadi penonton. Mari turun gelanggang untuk sama-sama bergerak. Jadikan konsep Buku Hijau satu realiti yang diingati seluruh rakyat.

Pegawai pertanian juga kurang cekap jalankan tugas. Sudah banyak kali kita dengar saranan agar pertanian direformasi. Apa yang kita lihat, maka- nan masih diimport dan dijangka memakan ongkos RM11 bilion tahun ini. Sedangkan sawah bendang kita terus terbiar. Kita ada Felcra, PPK, kita ada ramai pegawai di Jabatan Pertanian. Dan kita ada JPS di setiap daerah dan jajahan!

Ada baiknya juga mereka yang suka main golf seperti yang bertaraf super scale untuk keluarkan peluh turun gelanggang bercucuk tanam. Menyangkul di kebun juga menyihatkan. Peluh yang keluar sama juga. Masin juga, bukan manis.

Kadangkala saya lihat sikap petani juga patut diubah. Petani tidak boleh terlalu mengharapkan bantuan. Sebaliknya, mereka wajar mewujudkan semula semangat gotong-royong. Ada sesetengah petani di kawasan Mada yang guna kaedah 3T - tanam, tinggal, tuai. Ini perangai petani Melayu. Apabila diserak, ditinggal padi begitu saja tanpa penjagaan dan pembajaan. Lebih buruk lagi, apabila dapat bantuan baja, ada petani jual baja berkenaan. Di sini letaknya fungsi pegawai pertanian. Elok sentiasa buat pemantauan, khidmat nasihat kepada petani.

Saya juga lihat askar kita ada banyak masa. Adalah amat elok dicadangkan guna tenaga askar untuk turun ke sawah atau ladang. Kalau zaman kacau-bilau mereka berjuang menghapuskan musuh negara, maka zaman aman damai, tidak salah tenaga mereka digunakan untuk ke sawah berjuang memakmurkan negara dengan bahan makanan. Kita tahu yang namanya askar itu cukup tinggi disiplin dan semangatnya.

Sejak peperiksaan PMR dilaksanakan menggantikan SRP pada tahun 1993, didapati ramai pelajar pangkat D boleh naik ke tingkatan empat. Lalu mereka disuruh belajar dan mengikut akademik seperti pelajar yang berkebolehan. Mereka seolah-olah didera padahal mereka ini tiada kelihatan selain daripada gelap. Sebagai manusia kita yakin setiap orang dilahirkan dengan fitrah yang bernama potensi. Pelajar sains ini amat elok diberi kemahi- ran lain yang bukan akademik. Satu daripadanya bidang pertanian. Rasanya amat kena pada masanya kita salurkan mereka ke bidang pertanian".