Berkorban apa saja -- Ikutlah nasihat PM bagi pulihkan ekonomi


MASA ini teringatlah Wak lagu P. Ramlee, "Berkorban Apa Saja.'' Walaupun dalam lagu itu P. Ramlee maksudkan berkorban kerana cinta, tapi dalam keadaan kita hari ini, nampaknya kita kenalah berkorban apa saja demi negara.

Wak sebetulnya sebak bila dengar perutusan khas Perdana Menteri kita sempena tahun baru melalui TV. Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad seru semua rakyat supaya berkorban bagi tujuan memulihkan ekonomi.

Katanya banyak tekanan dan pengorbanan yang perlu dipikul oleh rakyat pada masa ini. Kalau tidak kita terpaksalah menyerah diri pada orang lain.

PM mahukan rakyat terus menabung, maksudnya menyimpan duit dalam bank kita. Kita kenalah percaya pada duit kita sendiri dan juga sistem bank kita sendiri. Kita juga kena terima hakikat bahawa nilai duit yang kita simpan akan susut nilainya kalau nilai ringgit kita terus jatuh.

Katanya lagi, kalau kita tak percaya duit kita, dan oleh kerana itu kita tukar duit kita pada duit asing dan kita simpan pula di luar negara, perbuatan itu akan hanya menjatuhkan nilai duit kita.

Kata PM, memelihara nilai ringgit merupakan tanggungjawab bersama. Katanya lagi, orang lain tidak akan mempertahankan duit kita melainkan kita sendiri.

Wak setuju sangat dengan PM tentang hal ini. Sejak dulu pun Wak dah kata, ada orang kita yang tak setia dalam soal ini. Mereka bawa duit keluar atau tukar duit kita pada duit luar. Mereka takut apa jadinya pada ringgit kita. Mereka takut nilai ringgit akan susut terus. Orang yang buat gini selalunya orang yang ada duit. Orang macam inilah yang buat banyak duit masa keadaan senang dulu. Masa ekonomi kita baik, orang ini buat duit berguni-guni. Masa zaman susah, merekalah yang cepat-cepat panik dan bawa keluar duit mereka.

Wak dah cakap pasal soal ini dari dulu lagi. Wak tahu ada rakyat kita yang bertuhankan duit. Kesetiaan mereka ukurannya duit saja. Bila ada duit ada kesetiaan. Bila mereka buat duit dengan banyak, kerajaan yang ada baguslah. Bila mereka boleh buat duit yang banyak, pemimpin kita semua OK.

Tapi bila ekonomi ada masalah, mereka mula soal macam-macam. Merekalah yang mula rasa mereka dalam susah. Mulalah mereka rasa marah. Mulalah mereka cari jalan mudah. Cari jalan selamat. Wak fikir masa susahlah kita boleh tahu siapa yang sebenarnya setia. Sebab itu Wak kata dulu, bukan Wak tak percaya orang kita sendiri. Tapi Wak was-was dan curiga terhadap mereka yang bertuhankan duit ini.

Wak tak kata bangsa lain saja. Yang buat kerja ini termasuk juga bangsa kita. Ada orang kita yang mudah lupa diri. Merekalah yang diberi macam-macam kemudahan untuk mereka buat duit. Dasar UMNO menyebabkan mereka jadi jutawan. Tapi bila keadaan tak baik, merekalah yang tukang kecam dan cemuh.

Apa yang Wak benci sangat perbuatan orang macam ini ialah mereka bermuka-muka. Cakap depan lain, cakap belakang lain. Depan pemimpin mereka puji. Belakang pemimpin mereka keji.

Sikap macam ini yang Wak meluat sangat. Kononnya sokong apa saja yang kerajaan buat. Mereka kata mereka di belakang pemimpin kita semua dalam soal ini. Tapi di belakang mereka mula tunjuk salah orang lain. Mereka mula hentam pemimpin kita.

Wak faham kecewanya Dr. Mahathir bila tengok apa yang berlaku pada Malaysia. Apa tidaknya. Dia yang bina kita jadi sampai macam ini. Kita jadi negara membangun yang disegani oleh orang. Tapi apa jadi sekarang?

Dari dulu PM dah kata, kita jangan panik. Kita mesti ada disiplin. Kalau kita tak ada disiplin dan kita gelabah, lagi buruk keadaan kita. Kita semua tahu nilai ringgit kita merosot. Pasaran saham kita kena hentam dengan teruk. Tapi kita tak boleh tuding jari cari salah orang di atas saja. Sebahagian masalah itu bukan perbuatan kita pun.v
Ini masanya kita kena kumpulkan kekuatan kita semua untuk bantu PM. Macam kata PM, kita tak boleh menyerah kalah sebaliknya menghadapi apa sahaja cabaran ini bersama.

Wak ingat sangat kata PM dalam perutusan itu, "Perjuangan kita bukan sahaja belum selesai tetapi sudah menjadi lebih genting.''

Wak tahu ada sebahagian rakyat kita yang dah rasa putus harap.

Apa tidaknya. Dengan jatuhnya nilai ringgit berbanding dengan dolar, barang yang kita import jadi mahal. Sedangkan semua barang nampaknya kita import. Sampai ke sayur, sampai ke ikan, sampai ke beras. Itu belum lagi barang mewah dan barang-barang lain.

Wak fikir banyak ahli perniagaan kita yang mengeluh sekarang.

Sebab nilai mereka merosot teruk. Sebab bila saham jatuh berdentum, banyaklah tuan punya syarikat dan pemegang saham yang terasa kesannya. Memanglah kalau dulu nilai mereka RM30 juta sekarang dah turun mungkin beberapa juta saja.

Tapi semua orang macam itu. Macam Wak kata selalu, jangan tengok diri kita saja. Pandanglah ke bawah. Bagi orang berniaga ini, kalau dulu nilai mereka RM30 juta merosot jadi RM10 juta, mereka rasa diri mereka papa. Tapi mereka kena ingat, ada rakyat kita yang bergaji kurang RM1,000 sebulan tapi terpaksa tanggung tujuh orang anak. Bila harga gula, tepung dan ayam naik, merekalah yang kena padahnya.
Wak harap, nasihat PM itu janganlah diabaikan terutaman
ya oleh orang kita yang ada duit. Wak setuju dengan PM, tak ada orang yang boleh tolong kita. Kecuali diri kita sendiri. Kalau kita tak jaga diri kita dan ekonomi kita, kita akan serah diri pada IMF. Bila itu berlaku, bukan saja maruah kita terjejas tapi kebebasan kita. Itu tandanya kita tidak merdeka lagi. Kita akan serahkan diri kita pada mereka. Kita terpaksa ikut cakap mereka. Kita kena ikut dasar mereka.

Wak dah puas hidup dalam penjajahan. Wak tahu susahnya hidup bila kita dijajah. Wak tahu banyak orang kita yang lahir selepas zaman penjajah. Jadi mereka tak tahu apa maknanya kebebasan dan harga diri. Atau maruah.

PM sendiri banyak kali kata, dia tak mahu dihina lagi. Sebab itu dia nak bawa kita semua keluar dari kehinaan. Dia mahu kita bebas, boleh kata apa saja. Boleh buat apa saja. Boleh bina bangsa dan majukan negara ikut cara kita.

Kalau kita serah diri pada IMF, belum tentu kita selamat. Dasar yang mereka kenakan pada kita belum tentu betul. Sebab kalau kita tengok apa yang berlaku di Thailand dan Indonesia, keadaan ekonomi tak pulih juga.

Sebab itulah tiap orang, sampai pada suri rumah kata PM, harus menyumbang pada negara. Semua orang harus berkorban. Bercekang perut dan menahan nafsu. Ini masa susah. Dalam masa susah inilah kita mahukan semua orang kita berkorban. Dan macam kata P. Ramlee, berkorban apa saja. Demi negara.