Mengharungi 1998 secara lebih rasional


BAGAIMANAPUN sukar sekalipun keadaan sekarang, rakyat Malaysia tetap
        menyambut kedatangan tahun baru. Bagi yang beragama Islam, mereka menyambut
        tahun baru dan Ramadan dengan penuh kesyukuran. Sesungguhnya kita di Malaysia
        mempunyai banyak sebab untuk bersyukur kerana tidak seperti sesetengah negara lain,
        di Malaysia tidak ada bencana alam dan penderitaan akibat peperangan, rusuhan kaum
        yang menyebabkan beribu nyawa terkorban. Anak kita dapat ke sekolah dengan selesa
        dan selamat walaupun belanja harian berkurangan berbanding tahun sebelumnya.

        Dari satu segi, masalah ekonomi berikutan kejatuhan nilai mata wang memberi manfaat
        kepada kita. Kegawatan ekonomi memberi pengajaran kepada sesiapa saja yang
        mengambil belajar daripada sejarah. Sebagaimana yang sering dijelaskan Perdana
        Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, pencapaian yang dinikmati rakyat bukan
        datang bergolek dan kekal selama-lamanya tetapi melalui perjuangan panjang dan jerih.

        Kepada sesetengah mereka yang mula lupa diri, berasa nikmat yang dikecapi adalah
        hasil kepintaran akal mereka, keadaan yang terjadi hari ini tentulah memberi peluang
        baik kepada mereka untuk kembali merenung diri. Fakta di depan mata mereka, hasil
        menungan panjang meneliti nasib masa lalu dan mencongak unjuran rezeki akan datang,
        jelas menunjukkan yang ada tidak memberi makna tanpa sumbangan kekukuhan politik
        dan ekonomi.

        Inilah hakikat politik yang posisinya dalam ekonomi menaikkan darjah sosial. Tanpa
        keadaan politik yang stabil, mustahil mereka mencapai kedudukan ekonomi yang
        kemudiannya meletakkannya dalam martabat sosial kebanggaannya.

        Golongan ini sedar keutuhan negara adalah hasil daripada hasil perpaduan rakyat - yang
        tahu di mana bumi dipijak d situ langit dijunjung - sesungguhnya dapat memainkan
        peranan yang amat penting.

        Sejarah menunjukkan betapa besar pun tentera menyerang suatu bangsa, tetapi kerana
        perpaduan kukuh dan kepercayaan kepada pemimpin, bangsa itu tidak akan kalah.
        Perang Badar dalam sejarah Islam menunjukkan bilangan tentera musuh jauh lebih besar
        daripada tentera Islam tetapi kerana perpaduan tentera Islam menang.

        Portugis tidak dapat mengalahkan Melaka pada abad ke-15 Masihi jika orang Melaka
        bersatu, berjuang mempertahankan Melaka daripada dijajah. Punca utama kekalahan
        yang memalukan bangsa Melayu itu kerana rakyat bersatu hati, tenaga dan jiwa. Ramai
        yang mementingkan diri, kumpulan serta juak sendiri yang berkepentingan sama ada
        dalam bidang politik, perdagangan atau ekonomi pada masa itu.

        Sebagaimana yang dijelaskan pemimpin kita, kita sedar kemelut ekonomi kini adalah
        akibat serangan spekulator luar terhadap mata wang Malaysia. Berdasarkan keyakinan
        pemimpin, rakyat yakin keadaan ini akan kembali pulih tetapi akan lebih cepat jika
        kerjasama pada semua peringkat diperolehi.

        Selepas pulang daripada satu perang, Nabi Muhammad mengingatkan hulubalangnya
        yang mereka kembali dengan kemenangan daripada satu peperangan tetapi pada
        hakikatnya menghadapi peperangan yang lebih besar. Peperangan yang dimaksudkan itu
        ialah peperangan melawan hawa nafsu.

        Tahun 1998 dengan pelbagai latar harapan melatarbelakangi peristiwa pahit manis
        pelbagai bidang kehidupan, diharap dapat membentuk setiap orang untuk hidup dalam
        keadaan lebih rasional dan tenang. Kita tidak mungkin mendapat ketenangan kalau kita
        tidak rasional. Rasional kita mestilah diikuti tindakan seperti kita memperbetulkan
        kedudukan diri dalam negara dan masyarakat.

        Dalam bidang ekonomi kita seharusnya tidak tamak dan gelojoh secara tidak menentu.
        Begitu juga dalam bidang politik. Kita mestilah menghadapi sebarang gejolak dengan
        rasional dan tenang, sabar serta tawaduk.

        Musuh datangnya dari pelbagai penjuru. Tetapi musuh paling bahaya adalah musuh dari
        dalam. Dalam hal ini kesanggupan Datuk Abdul Ghapur Salleh menarik balik peletakan
        jawatannya sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah, Menteri Kewangan serta Timbalan
        Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah adalah satu tindakan yang rasional.

        Abdul Ghapur tentu sedar masa kini tidak mengizinkan sebarang pergolakan politik
        dalam negeri. Masa dan tenaga mestilah dipergunakan sepenuhnya untuk memulihkan
        ekonomi.

        Memang kita semua mengetahui pada 1999 akan ada pertandingan dan pemilihan
        peringkat pusat. Sementara pemilihan pada peringkat bahagian pada Mac nanti diharap
        tidak boleh menimbulkan suasana yang tidak menyenangkan sehingga boleh memberi
        ruang kepada anasir luar campur tangan dalam politik kita.

        Memang diakui ada pihak yang tidak senang melihat kejayaan dan pencapaian Malaysia.
        Usaha dalam bidang politik pada peringkat antarabangsa dengan pelbagai tujuan dan
        maksud terhadap Malaysia tentulah juga tidak terhenti. 

        Semalam akhbar kita melaporkan kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk
        Norian Mai berhubung laporan beberapa agensi berita asing yang menyatakan Malaysia
        terbabit melatih Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani atau Pulo.

        Datuk Norian dalam kenyataannya menegaskan sehingga ini polis tidak menerima
        maklumat mengenai Malaysia dijadikan pangkalan melatih anggota Pulo. Mengikut
        Norain lagi: "Adalah tidak berasas untuk mengaitkan Malaysia sebagai punca kepada
        aktiviti gerila yang berlaku di Thailand kerana kita tidak mempunyai maklumat adanya
        latihan dan persiapan yang dilakukan kumpulan tertentu berpangkalan di negara ini."

        Beberapa agensi berita asing semalam melaporkan Menteri Luar Thailand, Surin
        Pitsuwan akan mengunjungi Malaysia minggu depan bagi membincangkan masalah
        meningkatnya aktiviti gerila Islam di Selatan Thailand.

        Laporan yang sama juga ikut memetik kenyataan Perdana Menteri Thailand, Chuan
        Leekpai yang menyatakan gerila pemisah Islam sedang dilatih di Malaysia sebelum
        dihantar ke Selatan Thailand.

        Jelas sekali usaha pihak yang tidak senang dengan kejayaan Malaysia tidak saja dalam
        bidang ekonomi malah dalam bidang politik, kehidupan dan budaya tetapi serangan itu
        tidak henti-hentinya. 

        Semua gerakan itu sama ada politik, ekonomi, atau sosial harus ditangani dengan hati
        yang tenang dan fikiran yang rasional.

        Apa yang dilaporkan konon kegiatan tidak menentu di Selatan Thailand dikatakan
        didalangi Malaysia sebagai negara yang terbabit itu jika tidak ditangani secara bijaksana
        boleh memanaskan sempadan utara negara kita.

        Berdasarkan fakta sejarah keadaan tidak menentu di Pattani mudah menyala dan boleh
        menyemarakkan api permusuhan, membakar hubungan baik antara Malaysia dan
        Thailand.

        Walaupun laporan itu kelihatan serius kita percaya Malaysia dapat menanganinya
        dengan bijaksana kerana dalam keadaan ekonomi hari ini tidak ada sesiapapun,
        melainkan pihak tertentu yang cuba mencetuskan api permusuhan saja yang akan
        untung.

        Setiap orang mengharapkan 1998 menjadi tahun mengembalikan Malaysia ke tahap yang
        dicapai sebelumnya dalam waktu singkat.

        Kita percaya berkat perpaduan rakyat semua peringkat - sama ada pemimpin politik, ahli
        korporat, peniaga dan rakyat biasa - hal itu tidak sukar dilakukan. Tentulah untuk
        memperolehinya kita mestilah bertindak secara tenang, sabar, tawaduk dan rasional.